SuratBerhentiKerja.my

Surat Berhenti Kerja 24 Jam

Tiada notis berhenti kerja 24 jam dalam Akta Kerja 1955. Surat berhenti kerja 24 jam sebenarnya notis bertulis untuk keluar tanpa menghabiskan tempoh notis, dan dalam keadaan biasa ada dua cara yang sah:

  1. Bayar ganti notis, iaitu gaji bagi hari notis yang tak dijalani (seksyen 13(1)). Majikan boleh menolaknya terus daripada gaji akhir anda (seksyen 24(2)(b)).
  2. Minta majikan mengecualikan baki notis. Akta membenarkan mana-mana pihak melepaskan haknya untuk menerima notis. Pastikan persetujuan majikan dibuat secara bertulis.

Ada juga keadaan khas yang membolehkan anda berhenti serta-merta tanpa bayar; lihat bila boleh berhenti tanpa notis dan tanpa bayar. Nak terus ke surat? Contoh surat berhenti kerja 24 jam ada di bawah kalkulator.

Kiraan di halaman ini berdasarkan Akta Kerja 1955, yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan. Pekerja di Sabah dan Sarawak tertakluk kepada ordinan buruh negeri masing-masing.

Maklumat umum untuk pekerja sektor swasta, bukan nasihat undang-undang.

Kira bayaran ganti notis

Masukkan gaji, tarikh dan tempoh notis anda. Kalkulator mengira berapa hari notis tidak dijalani dan anggaran jumlah yang perlu dibayar kepada majikan.

Gaji pokok dan bayaran tunai tetap untuk kerja. Apa yang dikira gaji?

Berhenti pada hari surat diserahkan? Masukkan tarikh yang sama.

Kontrak ada nyatakan tempoh notis?

Masukkan gaji dan tarikh. Anggaran keluar di sini.

Cara kira gaji ganti notis

Seksyen 13(1) menyatakan jumlahnya sama dengan gaji yang sepatutnya anda peroleh sepanjang tempoh notis, atau sepanjang baki notis yang belum habis. Akta tidak menetapkan cara mengira kadar sehari. Kalkulator di atas mengikut kaedah kalkulator anggaran JTKSM:

Ganti notis = gaji bulanan ÷ jumlah hari dalam bulan anda berhenti × hari notis yang tak dijalani

Majikan anda mungkin guna kadar sehari lain, contohnya gaji ÷ 26 atau ÷ 30, atau formula dalam kontrak. Jadi angka sebenar boleh berbeza sedikit. JTKSM sendiri menyatakan kalkulatornya hanya anggaran dan tidak boleh dijadikan dokumen sokongan tuntutan. Jadikan angka ini panduan awal bila berbincang dengan HR.

Apa yang dikira sebagai gaji

Akta guna takrif upah dalam seksyen 2: gaji pokok dan semua bayaran tunai lain untuk kerja yang dilakukan. Yang tidak termasuk:

  • nilai tempat tinggal, atau bekalan makanan, bahan api, lampu, air, rawatan perubatan, atau kemudahan atau perkhidmatan yang diluluskan;
  • caruman majikan sendiri ke mana-mana kumpulan wang pencen, simpanan, persaraan atau skim kebajikan pekerja;
  • elaun perjalanan atau nilai konsesi perjalanan;
  • bayaran untuk menampung perbelanjaan khas akibat sifat kerja anda;
  • ganjaran semasa diberhentikan atau bersara;
  • bonus tahunan.

Tak pasti sama ada sesuatu elaun termasuk? Semak slip gaji anda dan tanya HR sebelum bergantung pada angka kalkulator.

Contoh kiraan

Gaji RM2,500, kontrak tak sebut notis, khidmat 1 tahun 3 bulan. Notis diserahkan Khamis, 1 Oktober 2026 dan berhenti hari yang sama.

Notis penuh
28 hari (4 minggu), tamat 28 Okt
Dijalani
1 hari
Tak dijalani
27 hari

RM2,177.42 2,500 ÷ 31 × 27

Sama seperti contoh pertama, tetapi terus bekerja hingga Jumaat, 9 Oktober.

Notis penuh
28 hari
Dijalani
9 hari
Tak dijalani
19 hari

RM1,532.26 2,500 ÷ 31 × 19

Gaji RM3,000, kontrak menyebut notis 1 bulan. Notis diserahkan Isnin, 12 Oktober 2026 dan berhenti hari yang sama.

Notis penuh
31 hari (1 bulan), tamat 11 Nov
Dijalani
1 hari
Tak dijalani
30 hari

RM2,903.23 3,000 ÷ 31 × 30

Hari terakhir bekerja dalam ketiga-tiga contoh jatuh pada bulan Oktober 2026, jadi gaji dibahagi 31. Notis 1 bulan dalam contoh ketiga dikira ikut amalan biasa, iaitu hingga sehari sebelum tarikh yang sama bulan berikutnya.

Contoh surat berhenti kerja 24 jam

Surat resign 24 jam tetap notis bertulis. Bezanya, anda nyatakan yang tempoh notis tidak dijalani sepenuhnya, dan bagaimana bakinya diselesaikan: sama ada anda bayar ganti notis, atau minta majikan kecualikan. Isi borang di bawah, atau mulakan dengan salah satu contoh selepasnya.

1 Butiran anda

Boleh tambah jabatan, contohnya Eksekutif Akaun, Jabatan Kewangan.

Nama penerima dan alamat syarikat (pilihan)

Contohnya Puan Aini Hassan. Biarkan kosong kalau tak pasti.

2 Tarikh

Guna tarikh anda serahkan surat. Hari itu dikira hari pertama notis.

Hari terakhir anda bekerja. Kalau berhenti pada hari surat diserahkan, tarikhnya sama.

3 Jenis surat dan bahasa

Jenis surat

Sambung ayat ini: "Keputusan ini dibuat kerana …". Contohnya: saya perlu menjaga ibu bapa sepenuh masa.

Bahasa surat

Pratonton surat Dicetak saiz A4

[Tarikh surat]

Pengurus Sumber Manusia
[Nama syarikat]

Tuan/Puan,

NOTIS BERHENTI KERJA DENGAN BAYARAN GANTI NOTIS

Dengan surat ini, saya memberi notis bahawa saya meletakkan jawatan sebagai [Jawatan] di [Nama syarikat]. Tarikh akhir saya berkhidmat ialah [Tarikh akhir berkhidmat].

2.Saya sedar bahawa saya tidak menjalani tempoh notis penuh. Oleh itu, saya akan membayar ganti notis bagi baki tempoh yang tidak dijalani, dan saya bersetuju jumlah itu ditolak daripada gaji akhir saya. Jika gaji akhir tidak mencukupi, saya akan menjelaskan bakinya.

3.Sebelum saya pergi, semua dokumen, peralatan dan akses sistem akan diserahkan kepada pegawai yang ditetapkan.

4.Saya memohon maaf atas notis yang singkat ini dan berterima kasih atas peluang bekerja di [Nama syarikat].

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

([NAMA PENUH])
[Jawatan]

Apa yang anda taip kekal dalam pelayar anda. Laman ini tidak menghantar atau menyimpan maklumat itu, dan semuanya hilang bila halaman dimuat semula.

Versi 1: berhenti serta-merta, bayar ganti notis

Dah pasti nak keluar dan sanggup tanggung ganti notis? Dalam surat ini, anda bersetuju jumlah itu ditolak daripada gaji akhir.

[Tarikh surat]

Pengurus Sumber Manusia
[Nama syarikat]

Tuan/Puan,

NOTIS BERHENTI KERJA DENGAN BAYARAN GANTI NOTIS

Dengan surat ini, saya memberi notis bahawa saya meletakkan jawatan sebagai [Jawatan] di [Nama syarikat]. Tarikh akhir saya berkhidmat ialah [Tarikh akhir berkhidmat].

2.Saya sedar bahawa saya tidak menjalani tempoh notis penuh. Oleh itu, saya akan membayar ganti notis bagi baki tempoh yang tidak dijalani, dan saya bersetuju jumlah itu ditolak daripada gaji akhir saya. Jika gaji akhir tidak mencukupi, saya akan menjelaskan bakinya.

3.Sebelum saya pergi, semua dokumen, peralatan dan akses sistem akan diserahkan kepada pegawai yang ditetapkan.

4.Saya memohon maaf atas notis yang singkat ini dan berterima kasih atas peluang bekerja di [Nama syarikat].

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

([NAMA PENUH])
[Jawatan]

Versi 2: minta majikan kecualikan notis

Pilih versi ini kalau anda berharap majikan lepaskan awal tanpa bayaran. Ia minta pengesahan bertulis, dan menyatakan anda faham apa pilihannya kalau permohonan ditolak.

[Tarikh surat]

Pengurus Sumber Manusia
[Nama syarikat]

Tuan/Puan,

NOTIS BERHENTI KERJA DAN PERMOHONAN PENGECUALIAN NOTIS

Dengan surat ini, saya memberi notis bahawa saya meletakkan jawatan sebagai [Jawatan] di [Nama syarikat].

2.Saya memohon jasa baik pihak syarikat untuk mengecualikan baki tempoh notis saya, supaya tarikh akhir saya berkhidmat ialah [Tarikh akhir berkhidmat].

3.Sebelum tarikh itu, saya akan menyiapkan nota serahan tugas dan memulangkan semua peralatan syarikat. Saya juga boleh dihubungi selepas itu jika ada perkara yang perlu dijelaskan.

4.Jika permohonan ini dipersetujui, mohon pengesahan secara bertulis. Jika tidak, saya faham bahawa saya perlu menjalani baki notis atau membayar ganti notis bagi baki tersebut.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

([NAMA PENUH])
[Jawatan]

24 hours resignation letter (English)

Versi bahasa Inggeris bagi Versi 1. Nak versi permohonan pengecualian dalam BI? Pilih English dan jenis surat kedua dalam penjana.

[Date]

Human Resources Manager
[Company name]

Dear Sir or Madam,

RESIGNATION WITH PAYMENT IN LIEU OF NOTICE

I am writing to give notice of my resignation from my position as [Position] at [Company name]. My last day of employment will be [Last day of employment].

I understand that I am not serving my full notice period. I will pay the company in lieu of notice for the days I do not serve, and I agree that this amount may be deducted from my final salary. If my final salary does not cover it, I will settle the balance.

Before I leave, I will hand over all documents, equipment and system access to the person the company assigns.

I apologise for the short notice and thank you for the opportunity to work at [Company name].

Yours faithfully,

[Full name]
[Position]

Bila boleh berhenti tanpa notis dan tanpa bayar

Akta membenarkan pekerja berhenti serta-merta tanpa notis dan tanpa ganti notis dalam keadaan berikut:

  • Majikan sengaja melanggar syarat kontrak perkhidmatan anda (seksyen 13(2)).
  • Gaji tidak dibayar seperti yang dikehendaki Bahagian III Akta, contohnya gaji biasa tidak dibayar selewat-lewatnya hari ketujuh selepas tempoh gaji tamat (seksyen 19(1)). Seksyen 15(1) menganggap majikan telah memungkiri kontrak, dan ini boleh menjadi asas untuk berhenti tanpa notis di bawah seksyen 13(2).
  • Anda atau tanggungan anda terancam bahaya serta-merta daripada keganasan atau penyakit yang tidak anda persetujui dalam kontrak (seksyen 14(3)).

Keadaan begini mudah dipertikaikan. Contohnya, bayaran kerja lebih masa, hari rehat dan hari kelepasan am boleh dibayar hingga hari terakhir tempoh gaji berikutnya (seksyen 19(2)), dan Ketua Pengarah boleh melanjutkan tempoh bayaran atas permohonan majikan (seksyen 19(3)). Jadi dapatkan nasihat Jabatan Tenaga Kerja dahulu sebelum bertindak. Cari cawangan terdekat dalam senarai alamat pejabat Jabatan Tenaga Kerja.

Gaji akhir, potongan dan cuti tahunan

PerkaraApa kata Akta
Gaji akhirGaji yang diperoleh hingga sehari sebelum penamatan kontrak berkuat kuasa dibayar selewat-lewatnya hari ketiga selepas kontrak tamat, ditolak potongan yang dibenarkan (seksyen 21(2)).
Ganti notisBoleh ditolak terus daripada gaji itu (seksyen 24(2)(b)). Potongan cuma satu cara menjelaskannya. Jumlah penuhnya tetap gaji bagi baki notis (seksyen 13(1)), jadi kalau gaji akhir tak cukup, bakinya masih terhutang.
Baki cuti tahunanDibayar ikut kadar gaji biasa bagi setiap hari (seksyen 60E(3A)). Untuk pekerja bergaji bulanan, formula Akta ialah gaji bulanan ÷ 26 (seksyen 60I(1A)); majikan boleh guna formula lain asalkan kadarnya tidak lebih rendah (seksyen 60I(2)).
Faedah penamatanTidak dibayar kalau anda sendiri yang berhenti, kecuali atas sebab seksyen 13(2) atau 14(3) di atas (Employment (Termination and Lay-Off Benefits) Regulations 1980, peraturan 4(1)(c)). Itu pun hanya untuk pekerja yang ada sekurang-kurangnya 12 bulan khidmat berterusan (peraturan 3(1)). Pekerja bergaji lebih RM4,000 sebulan juga tidak layak, kecuali golongan dalam perenggan 2 Jadual Pertama Akta seperti pekerja manual.

Berhenti tanpa surat: jangan terus hilang

Kalau anda tak datang kerja lebih daripada 2 hari bekerja berturut-turut tanpa cuti yang diluluskan, dan tanpa sebab munasabah yang anda maklumkan (atau cuba maklumkan) kepada majikan, Akta menganggap anda telah memungkiri kontrak (seksyen 15(2)).

Kalau nak keluar hari ini juga, hantar surat walaupun pendek. Tarikh akhir dan cara anda berhenti jadi jelas, dan gaji akhir lebih mudah diselesaikan.

Soalan lazim

Berhenti kerja 24 jam dapat gaji tak?

Dapat, untuk gaji yang diperoleh hingga sehari sebelum penamatan berkuat kuasa. Majikan boleh menolak ganti notis daripada jumlah itu, dan bakinya mesti dibayar selewat-lewatnya hari ketiga selepas anda berhenti.

Majikan boleh tolak gaji terakhir untuk ganti notis?

Boleh. Seksyen 24(2)(b) membenarkan potongan itu.

Masih probation, kena bayar juga?

Seksyen 13 tiada pengecualian untuk tempoh percubaan. Tempoh notis ikut surat tawaran atau kontrak anda; kalau tiada, minimumnya 4 minggu untuk khidmat bawah 2 tahun. Kalau anda keluar sebelum tempoh itu habis, ganti notis tetap dikira untuk hari yang tak dijalani. Lihat juga notis masa probation.

Majikan setuju lepaskan awal. Masih kena bayar?

Kalau majikan mengecualikan notis, ganti notis untuk hari yang dikecualikan tidak timbul. Pastikan persetujuan itu bertulis, contohnya e-mel HR yang menyebut tarikh akhir anda.

Ada surat berhenti kerja 24 jam dalam PDF?

Isi penjana surat di atas, tekan Simpan PDF, dan pilih Save as PDF dalam tetingkap cetak. Kalau anda buka halaman ini dari dalam aplikasi media sosial dan tetingkap cetak tak keluar, buka semula dalam Chrome atau Safari.